Walaupun dah dekat setahun Tejaa menjadi warga KOLEJ 17, kolej pertama yang Tejaa jejakkan kaki ketika mendaftar sebagai 'mahasiswa' UPM tiga tahun yang dulu, memori-memori yang tercipta di KOSASS tidak akan pernah padam, mengalahkan cinta pertama. Apa taknya, kalau ada pertandingan interkolej, Tejaa murtad dengan KOLEJ 17, dan masih menyokong kolej tercinta suatu masa dulu; KOSASS."ONCE KOSASS, FOREVER KOSASS"
Teringat di saat Tejaa kali pertama melangkah ke Dataran Kijang ketika mengambil keputusan tekad untuk menceburkan diri dalam dunia 'ASKAR'. Melangkah ke alam junior, beralih ke dunia intermediate, menongkah arus ke dunia senior, dan akhirnya sekarang, berada di alam Pegawai Muda di sebuah kolej yang cukup sederhana ini. Semua masih segar dalam ingatan Tejaa. Makian, cacian, hinaan, tawa dan duka, semua itu membuatkan Tejaa menjadi seorang insan yang lebih 'independent'.
Teringat lagi suatu masa dulu, hidup sendirian tanpa rakan, dipulau kerana sikap Tejaa yang mungkin tak disenangi. Namun, Tejaa tidak pernah menyalahkan mereka. Tejaa berterima kasih kepada mereka kerana tanpa mereka, Tejaa tidak akan muhasabah diri, memperbetulkan kesilapan Tejaa dan sedia untuk berubah. Sampai suatu masa, akhirnya, insan-insan yang memulaukan Tejaa menjadi sahabat karib Tejaa, dan menjadi tempat Tejaa meluahkan segala masalah yang terbeban di jiwa Tejaa, menjadi peneman setia Tejaa di saat Tejaa sakit suatu masa dahulu, dan menjadi pendamping setia Tejaa di dalam tawa mahupun duka. Sedikitpun Tejaa tidak rugi. Malah, Tejaa berterima kasih kerana memulaukan Tejaa suatu masa dahulu.
KOSASS. Suatu tempat Tejaa mengenali erti persahabatan, erti perjuangan, erti penghormatan, dan secara luasnya erti sebuah kehidupan. KOSASS, hidup yang penuh rintangan mengajar Tejaa untuk menjadi seorang yang lebih dewasa. Andai Tejaa tidak di sini 3 tahun yang lepas, Tejaa tidak mungkin alami semua ini, yang menjadi suatu garis panduan kehidupan Tejaa. Memori-memori yang tercipta di sini, akan kekal menjadi memori terindah.