Assalamualaikum wbt
Sudahkah anda bertaubat? Belum? Kalau belum, mari Tejaa kongsikan
satu ilmu yang cukup berguna untuk sahabat-sahabat Tejaa di luar sana.
Rasulullah SAW
sudah menegaskan bahawa satu kebaikan akan dilipatgandakan balasannya menjadi
sepuluh kali, dan satu kesalahan hanya dicatat satu. Namun, jika kita lihat
hari-hari yang kita jalani sambil membuat dosa adalah lebih banyak daripada
ganjaran yang kita raih. Sedangkan setiap detik yang berlalu, usia kita semakin
berkurang, sedangkan dosa kita kian membumbung tinggi. Allah Maha Pemurah telah
menyediakan taubat dan dengannya akan terhapus seluruh dosa sekiranya kita
bertaubat dengan taubat nasuha. Perintah untuk bersegera dalam bertaubat telah
Allah SWT jelaskan dalam firmanNya.
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari
Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan
untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yangmenafkahkan hartanya baik di
waktu lapang mahupun di waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan
memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang membuat
kebajikan.”
Demikian pula
Rasulullah SAW menuntut umatnya untuk bertaubat.
“ Takutlah kamu kepada Allah di mana saja
kamu berada dan sususilah keburukan dengan perbuatan kebaikan, pasti akan
menghapusnya.”
Semakin hari,
perjalanan hidup kita semakin singkat, umur kita semakin meningkat sedangkan dosa kita kian banyak. Kita bukanlah malaikat dan pasti ada ruang tergelincir. Namun, kita juga
bukan syaitan, peluang untuk selamat masih terbuka luas. Oleh kerana itu,
jangan takut oleh dosa besar yang sudah terjadi, jikalau disertai dengan
taubat. Setiap dosa akan diampuni selama kita benar-benar bertaubat, kecuali
bagi mereka yang sudah terlanjur berburuk sangka atas ampunan Allah SWT. Dosa
sebesar gunung, keampunan Allah SWT boleh jadi seluas langit dan bumi.
Barangsiapa yang merasa berlumur dan bergelumang maksiat, maka keampunan Allah
SWT lebih besar lagi. Justeru, orang yang tidak mahu bertaubat itu yang menjadi
masalah. Namun, jangan pula kita menganggap dosa-dosa kecil itu remeh. Semua
perbuatan akan diperhitungkan. Sebagaimana kata sebahagian ulama,
“Jangan
lihat kecilnya dosa, tetapi lihat terhadap siapa dosa itu diperbuat?”
Keampunan Allah
SWT itu benar-benar melimpah. Maka taubat nasuha adalah tanda bahawa kita
benar-benar telah bertaubat. Apakah TAUBAT NASUHA itu?
Rasulullah SAW setiap hari paling kurang 100 kali beristighfar dan memohon
keampunan. Padahal beliau telah dipelihara daripada dosa dan dijamin masuk ke
syurga.
Terdapat 3 langkah
dalam mengusahakan taubat nasuha, iaitu:
Kita harus belajar menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan.
Tidak diterima orang yang bertuabat jika masih merasa bangga dengan
keburukan masa lalunya. Jangan sampai kita berfikir untuk mengulanginya lagi.
Kita harus berfikir, mengapa hidup ini harus disia-siakan? Mengapa mata ini
berlumur dosa? Rasa sakit, perit penyesalan, itulah tanda-tanda taubat yang
berkualiti.
Kita haruslah memohon keampunan secara jelas.
Taubat mesti disertai dengan doa keampunan yang jelas seperti:
Wahai tuhan kami, kami sudah
zalim pada diri ini. Kalau Engkau tidak mengampuni dan menyayangi kami, maka
tentulah kami akan menjadi orang yang rugi.
Berdoa memohon keampunan Allah SWT boleh dibuat menggunakan apa jua bahasa
sekalupun, asalkan ikhlas dari lubuk hati.
Mempunyai keinginan yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi.
Bukan sahaja tidak mengulangi perlakuannya, tetapi niatnya juga perlu
disingkirkan. Jangan kita bertaubat tetapi kita mempunyai niat untuk
mengulanginya lagi. Dan seperti yang diungkapkan oleh riwayat bahawa salah satu
komponen kesempurnaan taubat adalah dengan menutupinya dengan berbuat kebaikan.
Kalau dulu, kita pernah mengambil wang secara tidak halal, selain kita harus
membersihkan diri, kita juga harus mengembalikannya kepada yang berhak dan
perbanyakkan sedekah. Jika pernah meminum minuman yang haram, makan makanan
haram, selain dengan taubat, perbanyakkan sedekah. Kalau kita pernah menyakiti
seseorang, selain kita perlu meinta maaf, banyakkanlah menolong orang yang
memerlukan, mendoakan kebaikan orang dan berhati-hati agar tidak menyakiti
lagi.
Sebusuk-busuk
dosa adalah orang yang tidak mahu bertaubat. Jangan meremehkan orang yang
pernah berdosa dan kemudiannya bertaubat kerana siapa tahu taubatnya lebih
bagus dari taubat kita yang merasakan sudah banyak beramal. Kalau ada seseorang
yang menjerit dalam hati memohon keampunan kepada Allah SWT, berderai air mata
kerana berlumur dosa, jangan kita remehkan kerana siapa tahu taubatnya itu akan
diterima serta dosa-dosanya akan diampuni oleh Allah SWT.
Ciri taubat seseorang yang diterima ialah:
- Terjadinya perubahan pada dirinya setelah bertaubat.
- Orang yang berubah menjadi semakin baik akan mendapat taufik daripada Allah SWT.
- Orang yang bertaubat akan senang mencari ilmu.
- Sering menghadiri majlis ilmu
- Melakukan aktiviti yang dapat menambahkan keimanannya kepada Allah SWT
- Semakin senang berbuat kebaikan.
- Solat menjadi semakin baik dan sempurna.
- Menepati waktu solat
- Senang untuk berjemaah
- Sedekah kian melimpah
- Akhlah bertambah baik
“ Dan orang-orang yang
bersungguh-sungguh di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan jalan-jalan
Kami kepada mereka. Dan sesungguhnya jalan-jalan Allah benar-benar berserta
orang-orang yang berbuat baik.”
Orang yang taubatnya
baik, maka akhlaknya pun akan semakin baik, semakin pemurah serta jelas
peningkatan pada pekertinya. Kita disuruh untuk bersegera memohon keampunan dan
memperbanyakkan Istighfar kepada Allah SWT atas dosa yang telah kita lakukan
kerana orang yang banyak beristighfar, InsyaAllah batinnya kana lebih tenteram,
akan selalu ada jalan keluar bagi segala permasalahan yang dihadapinya. Allah
SWT akan mewariskan rezeki dari tempat yang tidak diduga. Semkain banyak kita
bertaubat, InsyaAllah kita akan semakin bersedia untuk pulang kepadaNya. Jangan
kita melambat-lambatkan taubat.
Waktu terbaik adalah:
- Sepertiga malam menjelang subuh (2-5 am)
- Menjelang waktu Maghrib dari Asar
- Sewaktu ibadah Haji
- Ketika Bulan Ramadan
Beristighfarlah
terus menerus baik sambil berjalan, duduk atau sambil berbaring. Jika kita
bertaubat, lalu tergelincir lagi dan bertaubat lagi dan tergelincir lagi sampai
kita bosan bertaubat, Allah SWT tidak akan pernah bosan untuk menerima taubat
kita. Yang penting kita tidak boleh merancangnya. Kalau sudah dirancang, tidak
dikira sebagai taubat kerana merancang taubat bererti merancang berbuat dosa
sebelumnya. Perbanyakkanlah taubat! Gunakanlah salah satu cara yang efektif.
Mulailah dengan menghitung dosa kita kepada Allah SWT walaupun dosa yang kita
lakukan tidak pernah terhitung. Lalu kita terus memohon keampunan di atas semua
dosa-dosa kita itu. Dan lakukanlah ia secara berterusan agar apabila tiba saat
nanti kita dipanggil olehNya, kita telah bersiap sedia.
Orang yang sering
beristighfar diibaratkan seperti sebingkai cermin. Cermin, jika dibersihkan
akan berkilat. Dengan itu, dia dapat mencerminkan diri, dan orang lain juga
dapat sama-sama menggunakannya. Semakin bersih diri kita, InsyaAllah kita akan
menjadi contoh teladan bagi orang yang meniru kita dan InsyaAllah ganjarannya
pun adalah untuk kita sendiri juga. Wallahualam.