About Me

My photo
Terengganu, Malaysia
Pengalaman, jatuh dan bangun kehidupan mengajar aku erti kedewasaan. Kebahagiaan tidak akan mungkin dikecapi tanpa secebis pengorbanan. Cinta yang suci takkan mungkin datang tanpa keikhlasan dan kejujuran..

Dunia...Dunia...

Bila Kita Susah Orang Benci..

Bila Kita Senang Orang Dengki!!


Monday, September 26, 2011

TAUBAT NASUHA



Assalamualaikum wbt

Sudahkah anda bertaubat? Belum? Kalau belum, mari Tejaa kongsikan satu ilmu yang cukup berguna untuk sahabat-sahabat Tejaa di luar sana.
Rasulullah SAW sudah menegaskan bahawa satu kebaikan akan dilipatgandakan balasannya menjadi sepuluh kali, dan satu kesalahan hanya dicatat satu. Namun, jika kita lihat hari-hari yang kita jalani sambil membuat dosa adalah lebih banyak daripada ganjaran yang kita raih. Sedangkan setiap detik yang berlalu, usia kita semakin berkurang, sedangkan dosa kita kian membumbung tinggi. Allah Maha Pemurah telah menyediakan taubat dan dengannya akan terhapus seluruh dosa sekiranya kita bertaubat dengan taubat nasuha. Perintah untuk bersegera dalam bertaubat telah Allah SWT jelaskan dalam firmanNya.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yangmenafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang membuat kebajikan.”

Demikian pula Rasulullah SAW menuntut umatnya untuk bertaubat.

“ Takutlah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan sususilah keburukan dengan perbuatan kebaikan, pasti akan menghapusnya.”

Semakin hari, perjalanan hidup kita semakin singkat, umur kita semakin meningkat sedangkan dosa kita kian banyak. Kita bukanlah malaikat dan pasti ada ruang tergelincir. Namun, kita juga bukan syaitan, peluang untuk selamat masih terbuka luas. Oleh kerana itu, jangan takut oleh dosa besar yang sudah terjadi, jikalau disertai dengan taubat. Setiap dosa akan diampuni selama kita benar-benar bertaubat, kecuali bagi mereka yang sudah terlanjur berburuk sangka atas ampunan Allah SWT. Dosa sebesar gunung, keampunan Allah SWT boleh jadi seluas langit dan bumi. Barangsiapa yang merasa berlumur dan bergelumang maksiat, maka keampunan Allah SWT lebih besar lagi. Justeru, orang yang tidak mahu bertaubat itu yang menjadi masalah. Namun, jangan pula kita menganggap dosa-dosa kecil itu remeh. Semua perbuatan akan diperhitungkan. Sebagaimana kata sebahagian ulama,

                “Jangan lihat kecilnya dosa, tetapi lihat terhadap siapa dosa itu diperbuat?”

Keampunan Allah SWT itu benar-benar melimpah. Maka taubat nasuha adalah tanda bahawa kita benar-benar telah bertaubat. Apakah TAUBAT NASUHA itu? Rasulullah SAW setiap hari paling kurang 100 kali beristighfar dan memohon keampunan. Padahal beliau telah dipelihara daripada dosa dan dijamin masuk ke syurga.



Terdapat 3 langkah dalam mengusahakan taubat nasuha, iaitu:



Kita harus belajar menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan.

Tidak diterima orang yang bertuabat jika masih merasa bangga dengan keburukan masa lalunya. Jangan sampai kita berfikir untuk mengulanginya lagi. Kita harus berfikir, mengapa hidup ini harus disia-siakan? Mengapa mata ini berlumur dosa? Rasa sakit, perit penyesalan, itulah tanda-tanda taubat yang berkualiti.

Kita haruslah memohon keampunan secara jelas.
Taubat mesti disertai dengan doa keampunan yang jelas seperti:
Wahai tuhan kami, kami sudah zalim pada diri ini. Kalau Engkau tidak mengampuni dan menyayangi kami, maka tentulah kami akan menjadi orang yang rugi.
Berdoa memohon keampunan Allah SWT boleh dibuat menggunakan apa jua bahasa sekalupun, asalkan ikhlas dari lubuk hati.

Mempunyai keinginan yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi.
Bukan sahaja tidak mengulangi perlakuannya, tetapi niatnya juga perlu disingkirkan. Jangan kita bertaubat tetapi kita mempunyai niat untuk mengulanginya lagi. Dan seperti yang diungkapkan oleh riwayat bahawa salah satu komponen kesempurnaan taubat adalah dengan menutupinya dengan berbuat kebaikan. Kalau dulu, kita pernah mengambil wang secara tidak halal, selain kita harus membersihkan diri, kita juga harus mengembalikannya kepada yang berhak dan perbanyakkan sedekah. Jika pernah meminum minuman yang haram, makan makanan haram, selain dengan taubat, perbanyakkan sedekah. Kalau kita pernah menyakiti seseorang, selain kita perlu meinta maaf, banyakkanlah menolong orang yang memerlukan, mendoakan kebaikan orang dan berhati-hati agar tidak menyakiti lagi.


Sebusuk-busuk dosa adalah orang yang tidak mahu bertaubat. Jangan meremehkan orang yang pernah berdosa dan kemudiannya bertaubat kerana siapa tahu taubatnya lebih bagus dari taubat kita yang merasakan sudah banyak beramal. Kalau ada seseorang yang menjerit dalam hati memohon keampunan kepada Allah SWT, berderai air mata kerana berlumur dosa, jangan kita remehkan kerana siapa tahu taubatnya itu akan diterima serta dosa-dosanya akan diampuni oleh Allah SWT.
Ciri taubat seseorang yang diterima ialah:
  • Terjadinya perubahan pada dirinya setelah bertaubat.
  • Orang yang berubah menjadi semakin baik akan mendapat taufik daripada Allah SWT.
  • Orang yang bertaubat akan senang mencari ilmu.
  • Sering menghadiri majlis ilmu
  • Melakukan aktiviti yang dapat menambahkan keimanannya kepada Allah SWT
  • Semakin senang berbuat kebaikan.
  • Solat menjadi semakin baik dan sempurna.
  • Menepati waktu solat
  • Senang untuk berjemaah
  •  Sedekah kian melimpah
  • Akhlah bertambah baik

“ Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami kepada mereka. Dan sesungguhnya jalan-jalan Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”
Orang yang taubatnya baik, maka akhlaknya pun akan semakin baik, semakin pemurah serta jelas peningkatan pada pekertinya. Kita disuruh untuk bersegera memohon keampunan dan memperbanyakkan Istighfar kepada Allah SWT atas dosa yang telah kita lakukan kerana orang yang banyak beristighfar, InsyaAllah batinnya kana lebih tenteram, akan selalu ada jalan keluar bagi segala permasalahan yang dihadapinya. Allah SWT akan mewariskan rezeki dari tempat yang tidak diduga. Semkain banyak kita bertaubat, InsyaAllah kita akan semakin bersedia untuk pulang kepadaNya. Jangan kita melambat-lambatkan taubat.
Waktu terbaik adalah:

  • Sepertiga malam menjelang subuh (2-5 am)
  •  Menjelang waktu Maghrib dari Asar
  •  Sewaktu ibadah Haji
  •  Ketika Bulan Ramadan

Beristighfarlah terus menerus baik sambil berjalan, duduk atau sambil berbaring. Jika kita bertaubat, lalu tergelincir lagi dan bertaubat lagi dan tergelincir lagi sampai kita bosan bertaubat, Allah SWT tidak akan pernah bosan untuk menerima taubat kita. Yang penting kita tidak boleh merancangnya. Kalau sudah dirancang, tidak dikira sebagai taubat kerana merancang taubat bererti merancang berbuat dosa sebelumnya. Perbanyakkanlah taubat! Gunakanlah salah satu cara yang efektif. Mulailah dengan menghitung dosa kita kepada Allah SWT walaupun dosa yang kita lakukan tidak pernah terhitung. Lalu kita terus memohon keampunan di atas semua dosa-dosa kita itu. Dan lakukanlah ia secara berterusan agar apabila tiba saat nanti kita dipanggil olehNya, kita telah bersiap sedia.

Orang yang sering beristighfar diibaratkan seperti sebingkai cermin. Cermin, jika dibersihkan akan berkilat. Dengan itu, dia dapat mencerminkan diri, dan orang lain juga dapat sama-sama menggunakannya. Semakin bersih diri kita, InsyaAllah kita akan menjadi contoh teladan bagi orang yang meniru kita dan InsyaAllah ganjarannya pun adalah untuk kita sendiri juga. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment