About Me

My photo
Terengganu, Malaysia
Pengalaman, jatuh dan bangun kehidupan mengajar aku erti kedewasaan. Kebahagiaan tidak akan mungkin dikecapi tanpa secebis pengorbanan. Cinta yang suci takkan mungkin datang tanpa keikhlasan dan kejujuran..

Dunia...Dunia...

Bila Kita Susah Orang Benci..

Bila Kita Senang Orang Dengki!!


Saturday, June 16, 2012

Mengukur Kasih Sayang Allah

Assalamualaikum wbt..

Tejaa ada membaca satu artikel daripada Ustaz Mohd Azrul bin Ismail dalam majalah Al-USTAZ.
Tejaa cukup tersentuh apabila satu demi satu ulasan yang diberikan itu Tejaa amati. Secara jujurnya, memang Tejaa mengakui kekuatan disebalik ulasan dan mainan ayat yang puitis dari Ustaz cukup membuatkan orang yang membaca artikel yang bertajuk: KASIH SAYANG ALLAH BAGAIMANA MENGUKURNYA? merasa tersentuh dan tersedar dari khayalan dunia bahawa kasih sayang Allah kepada kita umat manusia itu amat luas dan tidak pernah terbatas.


Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur sahabat yang mulia Abu Huraurah r.a., berliau berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya, Allah memilik 100 rahmat. Diturunkan satu rahmat dari-Nya kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang yang berbisa. Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati. Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya. Allah s.w.t. mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (berbaki) untuk Dia merahmati hamba-Nya dengan rahmat itu pada hari Kiamat"

Subhanallah, tiada siapa yang dapat menandingi kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Allah memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja tanpa meminta sedikit pun balasan dan kepentingan. Berbeza dengan makhluk yang memberikan kasih da sayang kerana ingin mendapat pulangan kasih yang diharapkan. Manusia memberikan kasih kepada manusia lain agar turut dikasihi. Begitu juga kasih kepada haiwan. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: 

"Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi"

Itulah kasih sayang makhluk yang mempunyai sempadan, had, dan harapan disebaliknya. Kasih Allah s.w.t tidak bertepi dan bersempadan. Bahkan tidak setara seperti kasihnya Ibu kepada anaknya. Rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. amat luas. Tiada sesiapa yang mampu memberi kasih sayang seumpama Allah kepada makhluk-Nya. Kasih sayang Allah yang begitu luas dapat kita lihat dengan berterusannya nikmat dan kurniaan Allah kepada hamba-Nya walaupun mereka melakukan sebesar2 dosa dan maksiat. Orang KAFIR yang ingkar di dunia tetap hidup senang lenang dengan kemewahan dunia yang sementara. Itu juga adalah rahmat Allah. Orang islam pula turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat. Itu juga adalah kasih sayang Allah s.w.t.
Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah. Manakala orang yang hidupnya susah di dunia, bukanlah bermakna Allah s.w.t. tidak mengasihi mereka. Tidakkah para Nabi dan Rasul adalah kekasih Allah s.w.t.?Mereka semua menghadapi kesusahan dan cabaran dalam perjalanan hidup mereka, namun merekalah yang paling banyak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah sehingga menjadi kekasih-Nya.

Kadangkala ujian dan cabaran hidup merupakan tanda kasih sayang Allah sedara hakikatnya, walaupun tidak pada zahir. Apabila kita diuji, kita menjadi calon ahli yang mendapat kebaikan daripada Allah s.w.t. sebagaimana sabda nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan kepadanya, dia akan diuji daripada-Nya"
Kadangkala apabila situasi kita diuji dan sempit dengan masalah, pengharapan kepada Allah amatlah tinggi dan menebal di dalam hati kita. Sebenarnya, secara tidak sedar, kita melalui proses untuk menjadi orang yang beriman yang sebenar, kerana orang yang beriman akan diuji oleh Allah s.w.t. Maka menjadi pilihan Allah untuk menjadikan kita dekat kepada-Nya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita.

Itulah murni dan luasnya kasih sayang Allah kepada hambanya. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa nikmat kehidupan yang Allah kurniakan kepada kita sudah terlalu banyak, dan kadang-kadang kita lupa untuk mensyukuri-Nya. Biarlah kita azab di dunia yang penuh sengsara tetapi kita bersenang lenang di syurga  yang kekal selamanya. Jangan lupa bahawa, hamba Allah yang bertaqwa, nikmat Allah di hari yang dijanjikan itu mengatasi segala-galanya. Sebelum berakhir, hayatilah satu kisah yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah:

Seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikiran untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut, dia akan menimang kanak-kanak tersebut dan menyusukannya. Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada para sahabat:
"Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?"
Jawab para sahabat:
"Tentu sekali tidak."
Rasulullah bersabda:
"Allah lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya."

Allah tidak sewenang2nya mencipta Neraka itu untuk menyusahkan hamba-Nya, tetapi telah Allah kurniakan kepada kita akal  untuk berfikir dan menilai baik serta buruknya sesuatu perkara. Itulah nikmat Allah yang tidak dapat dihitung dan dibalas. Telah Allah turunkan Rasul sebagai contoh tauladan serta ikutan dan telah Allah turunkan juga Kitab2 Nya untuk kita sebagai rujukan, jadi kenapa kita harus hidup tnpa arah tujuan..?
Segala kemudahan telah Allah kurniakan, tetapi kenapa harus kita mencampakkan diri ke kancah kesusahan.  Ingatlah jalan derita itu kita yang pilih sedangkan Allah menurunkan sesuatu dugaan dengan kadar kemampuan hamba-Nya untuk menanggung. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu....


Rujukan: AL-USTAZ, Kasih Sayang Allah Bagaimana Mengukurnya 
karya  Ustaz Mohd Azrul bin Ismail 

1 comment: